Berita Utama

Najib tak pulangkan RM42 juta tapi guna dana ikut keinginannya: Hakim

Lazim pemegang akaun pulang semula wang jika berlaku kesilapan

PUTRAJAYA, 3 Jamadilawal 1443H, Rabu – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengembalikan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikreditkan secara salah ke akaunnya, sebaliknya telah menggunakannya, kata Mahkamah Rayuan hari ini.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata perkara lazim bagi mana-mana pemegang akaun yang tersilap atau tidak sengaja menerima dana ke dalam akaunnya adalah untuk memulangkannya dan membetulkan kesilapan itu, tetapi Najib tidak melakukan sedemikian apabila RM42 juta itu dipindahkan ke akaunnya.

Dalam penghakiman ringkas setebal 54 muka surat itu, hakim berkata Najib tidak pernah membuat aduan dengan pihak bank apabila dana itu dikreditkan secara salah ke akaunnya tetapi beliau agak berpuas hati apabila menerimanya dan menggunakan dana itu sesuka hatinya.

“Tidak pernah ditunjukkan penggunaan dana itu ada kaitan dengan SRC International atau perniagaannya. Hakim perbicaraan (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) menganggap pemindahan dana itu ke dalam akaunnya mesti dilakukan dengan pengetahuan perayu kerana jika tidak, beliau tidak akan membelanjakan RM42 juta tersebut.

“Oleh itu, keseluruhan keterangan mengukuhkan kesimpulan hakim bahawa perayu pasti mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta yang dipindahkan ke dalam akaunnya,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah juga bersetuju dengan penemuan hakim perbicaraan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan jelas menunjukkan bahawa pergerakan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada akaun bank SRC adalah tindakan penyalahgunaan yang tidak jujur,” katanya.

Hakim Abdul Karim juga berkata RM42 juta itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib dan tidak pernah dialihkan ke mana-mana akaun lain dan RM42 juta itu digunakan oleh perayu (Najib).

Sebaik sahaja dana berkenaan diterima ke dalam akaun bank perayu, beliau menggunakan dana tersebut dengan mengeluarkan beberapa cek.

“Dalam keadaan ini, perayu sudah mengetahui dana yang dikreditkan ke dalam akaun banknya, dan mengikut undang-undang, beliau bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawab terhadap aktiviti dalam akaunnya,” kata hakim.

Hakim juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa semua elemen penting mengenai penyelewengan harta yang diamanahkan oleh perayu telah digunakan dengan jelas.

Beliau berkata keterangan jelas menunjukkan perayu telah menyeleweng RM42 juta, subjek tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan memindahkan untuk kegunaan beliau sendiri serta telah menyeleweng secara tidak jujur.

Hakim Abdul Karim berkata walaupun perayu berpendapat bahawa dana itu digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hakikatnya dana tersebut telah digunakan untuk kepentingan peribadinya, secara langsung dan tidak langsung, dan dalam beberapa kes untuk tujuan politik yang berkaitan dan dikira untuk memajukan kerjaya politik perayu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button