Berita Utama

PDRM tawar diskaun kompaun saman terpilih mulai 9 Disember

Pengurangan tak termasuk kesalahan kemalangan, guna lorong kecemasan

BANGI, 3 Jamadilawal 1443H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan kompaun saman terpilih sehingga 80 peratus dengan had minima sebanyak RM30 bermula 9 Disember hingga 12 Disember ini.

PDRM dalam satu kenyataan berkata, tawaran itu diberikan bersempena 100 hari aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata, semua pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter PDRM KLCC, kaunter bayaran saman trafik Ibu Pejabat Polis Daerah dan Kontinjen serta aplikasi MyBayar saman sepanjang tempoh empat hari itu.

“Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun (NC), kesalahan berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan pengubahsuaian ekzos kenderaan.

“Orang ramai mahupun syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui portal rasmi PDRM atau pautan http://[email protected], ataupun muat turun aplikasi do platform Google PlayStore, Apple AppStore dan Huawei AppGallery dan seterusnya boleh membuat pembayaran melalui aplikasi tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan COVID-19 ketika berurusan di kaunter bayaran fizikal, selain menggalakkan pembayaran kompaun secara dalam talian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button