Berita UtamaIstimewa

Bertaubatlah! Kes bunuh, jenayah akibat arak belum insafkan pemimpin negara

Kerajaan Pusat tiada hasrat tarik balik kelulusan lesen jual minuman keras

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Jamadilawal 1443H, Khamis – Keputusan kerajaan Pusat setakat ini yang tidak berhasrat untuk menarik balik sebarang kelulusan berkaitan pelesenan penjualan minuman keras amat mengecewakan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan tohmahan yang menuduhnya bertindak membatalkan perkara berkaitan aspek pelesenan berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan memberi jaminan perwakilan kuasa bagi mendapatkan kelulusan penjualan minimum keras secara runcit di premis, kekal tanpa sebarang perubahan.

Katanya, sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya.

“Sehubungan itu, dakwaan atau tohmahan bahawa Menteri Kewangan telah membatalkan perwakilan kuasa tersebut adalah tidak benar. Terdapat kekeliruan dalam pelaksanan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras ini di peringkat negeri.

“Saya ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa perwakilan kuasa melalui perintah yang diwartakan pada 1977 masih kekal.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan kekeliruan ini tidak berulang dan pelesenan penjualan minuman keras kekal di bawah bidang kuasa Lembaga Perlesenan,” katanya.

Mengulas perkara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat meluahkan rasa kesal berikutan insiden membabitkan minuman keras masih tidak mampu menginsafkan pemimpin negara.

“Kes pemandu mabuk yang membunuh orang awam, peningkatan kes jenayah dan kemalangan serta wabak COVID-19 yang melanda kita nampaknya masih tak cukup menginsafkan pemimpin negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa arak disebut dalam hadis Nabi ﷺ sebagai ‘ibu segala kejahatan’.

“Bertaubatlah. Cukup-cukup ‘mentekedarah’ cukai hasil arak dan premis-premis ini. Sampai bila anda yang berkuasa di negara ini nak berubah?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button