Berita Utama

Kadar jenayah di Negeri Sembilan turun

Kes kecurian kenderaan turun secara purata kira-kira 43 peratus

SEREMBAN, 4 Jamadilawal 1443H, Khamis – Kadar indeks jenayah di Negeri Sembilan mencatatkan penurunan sebanyak 23.3 peratus iaitu 1,698 kes dari Januari hingga November tahun ini berbanding 2,213 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, penurunan itu dipengaruhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain kawalan ketat pasukan keselamatan di seluruh negeri ini.

“Secara perbandingan bagi tahun ini dan tahun lepas, kes kecurian kenderaan menurun secara purata kira-kira 43 peratus daripada jumlah keseluruhan, selain indeks jenayah pecah rumah dan jenayah kekerasan juga mencatatkan penurunan 24 peratus dan 21 peratus.

“Kita masih memantau keadaan semasa selepas masyarakat kini bebas bergerak. Secara perbandingan ada sedikit kenaikan kes dalam tempoh sebulan lepas tetapi masih terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Simulasi Go-To-Safety- Point (GTSP) kerjasama antara polis Kontinjen Negeri Sembilan dan stesen minyak Petron, yang turut dihadiri Timbalannya SAC Che Zakaria Othman dan Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof di sini, hari ini.

Mengenai inisiatif GTSP, Mohamad berkata, ia usaha kerajaan di bawah Program Kerjasama Stategik Kementerian Dalam Negeri bersama 2,995 stesen minyak di seluruh negara dengan 178 daripadanya di Negeri Sembilan, dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

Jelasnya, stesen minyak perlu dijadikan sebagai tempat ‘titik selamat’ kepada orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini seperti kecemasan, kemalangan atau menjadi mangsa jenayah.

“Pihak polis tidak sentiasa berada di setiap tempat pada satu-satu masa, jadi inilah peranan yang dimainkan setiap stesen minyak dengan kakitangan yang terlatih memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum pihak berkuasa tiba,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nanda berkata, polis sudah mengambil keterangan ibu dan bapa serta pengasuh berhubung kes kematian bayi perempuan berusia empat bulan yang ditemukan dalam keadaan lemah di rumah pengasuhnya sebelum meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar di sini dua hari lepas.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengambil keterangan doktor bagi membantu siasatan, namun setakat ini hasil bedah siasat ke atas bayi berkenaan tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah yang membawa kepada kematian mangsa.

Difahamkan, bayi berkenaan ada menerima suntikan sehari sebelum kejadian dan dalam keadaan tidak sihat ketika diserahkan kepada pengasuh pada hari kejadian, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button