Berita UtamaDunia

Kakitangan Muslim di Kongres AS kutuk komen Islamofobia Lauren Boebert

Retorik kebencian terhadap kakitangan muslim bahayakan keselamatan

WASHINGTON, 4 Jamadilawal 1443H, Khamis – Sebilangan besar kakitangan kongres Muslim mengutuk ‘komen berbaur Islamofobia dan perkauman’ oleh Wakil Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Lauren Boebert yang bercakap mengenai umat Islam dan Ahli Kongres, Ilhan Omar.

Dalam surat terbuka kepada kepimpinan Dewan Perwakilan AS, semalam kumpulan itu berkata, suhu Islamofobia yang meningkat di Capitol Hill telah mewujudkan perasaan kebimbangan dan ketakutan, lapor Al Jazeera.

Mereka berkata: “Retorik kebencian oleh pegawai awam secara langsung memberi kesan kepada kami dan membahayakan keselamatan kami, di tempat kerja dan dalam kehidupan seharian kami.

“Menyaksikan gangguan yang tidak terkawal terhadap salah seorang daripada tiga ahli Kongres yang beragama Islam – kami merasakan tempat kerja kami tidak selamat dan tidak dialu-alukan,” kata mereka dalam surat itu, yang ditandatangani 62 kakitangan Muslim di Dewan Rakyat dan Senat serta 378 kakitangan bersekutu.

Boebert dalam satu kenyataan, minggu lalu memohon maaf atas komen Islamofobia dan perkaumannya baru-baru ini selepas Ilhan dan ahli Demokrat lain menggesa ‘tindakan yang sesuai’ terhadapnya kerana ketaksuban anti-Muslim.

Tetapi selepas beberapa hari, Boebert tidak menunjukkan tanda-tanda penyesalan, menyiarkan video yang menunjukkan panggilannya pada Ilhan dan menggandakan retoriknya terhadap umat Islam.

“Jangan silap. Saya akan terus mendahulukan Amerika tanpa rasa takut, tidak pernah bersimpati dengan pengganas. Malangnya, Ilhan tidak boleh katakan perkara yang sama dan negara kita lebih teruk,” kata Boebert.

Bulan lalu, pada acara di daerah Colorado, Boebert menceritakan kepada pengunjung mengenai pertemuan dengan Ilhan di Capitol – yang Ilhan katakan tidak pernah berlaku.

Beliau seolah-olah mengatakan Ilhan dilihat sebagai seorang yang ‘berbahaya’ oleh seorang polis.

“Saya sedang menaiki lif bersama salah seorang kakitangan saya. 

“Anda tahu, kami meninggalkan Capitol dan kami nak kembali ke pejabat saya kemudian kami masuk ke dalam lif dan saya melihat seorang pegawai polis Capitol berlari ke lif.  

“Saya melihat kerisauan di seluruh wajahnya, dia sudah nak sampai, tetapi pintu lif tertutup, dan saya tidak boleh membukanya, apa yang sedang berlaku.  

“Saya melihat ke kiri saya, dan di sana ada dia. Ilhan Omar. Dan saya berkata, ‘Taklah, dia tiada beg galas, kami baik-baik saja,” katanya.

Memberi respon kepada kenyataan itu, Ilhan berkata: “Kami mahu Boebert bertanggungjawab atas kenyataan kebencian, anti-Muslim itu.

“Islamofobia yang terang-terangan ini sepatutnya tidak mempunyai tempat di dewan Kongres,” tambahnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button