Berita Utama

Kerajaan pandang serius laporan tentera Sulu rancang tawan Sabah

Status kesahihan laporan belum boleh disahkan

BANGI, 4 Jamadilawal 1443H, Khamis – Kerajaan memandang serius laporan berita yang mendakwa seramai 600 anggota Tentera Diraja Sulu (RSA) dilaporkan bersedia untuk melancarkan operasi menawan Sabah.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, status kesahihan laporan itu bagaimanapun belum boleh disahkan.

“Saya pun ada terbaca tadi. Apa pun benda ini tidak lagi dapat disahihkan berita tersebut, jadi saya tidak dapat memberi ulasan terhadap apa yang dibangkitkan.

“Tapi saya percaya di pihak kerajaan, sudah tentu apa sahaja maklumat, berita, akan dipandang serius terutama apa yang dibangkitkan Yang Berhormat akan dipandang secara serius,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan M Karupaiya (PH-Padang Serai) berhubung pendirian kerajaan susulan laporan disiarkan South China Morning Post (SCMP), mendakwa operasi itu dirancang selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 Datuk Bandar dari selatan Filipina.

Menurut laporan itu, seramai 19 Datuk Bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 orang anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut.

“Kos peluru dan logistik yang dianggarkan sebanyak AS$10,000 telah ditanggung oleh pegawai tinggi kerajaan,” katanya.

Sumber portal itu memberitahu, sekurang-kurangnya 200 orang pengintip bagi pihak RSA telah diarahkan menyusup masuk ke beberapa kawasan di Sabah, dengan bandar Lahad Datu dan Semporna menjadi sasaran utama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button