Berita Utama

Lelaki maut dipercayai dibunuh di Ipoh

Punca kematian mangsa daripada luka tikaman pada bahagian dada

IPOH, 28 Rabiulawal 1443H, Khamis – Seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun maut, dipercayai dibunuh di sebuah lokasi di Taman Silibin di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh bahawa terdapat seorang lelaki yang dibawa oleh rakannya ke hospital itu telah meninggal dunia akibat kecederaan kira-kira 4.15 pagi tadi.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pihak hospital mendapati punca kematian mangsa adalah daripada luka tikaman pada bahagian dada,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Yahaya berkata, pihaknya telah menahan tiga lelaki dan sedang mengesan seorang lelaki berusia 40 tahun yang beralamat di Jalan Calcutta, Buntong di sini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes ASP Norshaharah Marzuki di talian 017-4817800 atau Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button