Berita Utama

Omicron: England kembali laksana sekatan lebih ketat

Orang ramai diarah kerja dari rumah, pakai pelitup muka di tempat awam

UNITED KINGDOM, 4 Jamadilawal 1443H, Khamis – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengenakan sekatan COVID-19 yang lebih ketat di England, mengarahkan orang ramai bekerja dari rumah, memakai pelitup muka di tempat awam dan menggunakan pas vaksin untuk memperlahankan penyebaran varian coronavirus Omicron.

Johnson berkata, Omicron merebak dengan cepat dan beliau tidak mempunyai pilihan selain beralih ke ‘Pelan B’ sementara program vaksin penggalak dilancarkan.

Walaupun masih jauh dari sekatan penuh yang dikenakan sebelum pandemik, langkah baharu itu menjadi bebanan buat restoran, kafe dan kedai pusat bandar yang terdesak untuk berniaga pada waktu Krismas demi membina semula kewangan mereka.

Ramai Ahli Parlimen dalam parti Johnson sendiri marah dengan sekatan baharu itu, kerana bimbang akan kesannya selepas ekonomi menyusut sebanyak 10 peratus tahun lalu.

Pound Sterling jatuh mendadak apabila berita bahawa ‘Pelan B’ akan dilaksanakan dan pelabur mengurangkan pertaruhan mereka pada kenaikan kadar faedah Bank of England minggu depan.

Johnson yang menarik balik kebanyakan sekatan COVID-19 di England pada Julai berikutan pelancaran vaksin yang pantas, telah berjanji untuk mengharungi musim sejuk tanpa menggunakan sekatan COVID-19 keempat, tetapi telah mengekalkan apa yang dipanggil ‘Pelan B’ sebagai rancangan simpanan.

Sebahagian daripada langkah itu, seperti memperkenalkan semula pelitup muka di pengangkutan awam dan kedai telah dimulakan, tetapi pada hari Rabu, Johnson berkata, orang ramai juga kini harus bekerja dari rumah.

Pelitup muka juga akan diperlukan di tempat awam seperti teater dan pawagam, selain pas vaksin COVID-19 diwajibkan untuk akses ke kelab malam dan tempat yang mempunyai ramai orang.

Johnson berkata, langkah baharu itu diperlukan selepas 568 kes Omicron ditemui di negara ini, dengan data menunjukkan tempoh dua kali ganda untuk jangkitan berlaku antara dua dan tiga hari.

Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid berkata, pegawai menganggarkan bahawa jumlah jangkitan Omicron sebenarnya kira-kira 20 kali lebih tinggi daripada jumlah kes yang disahkan, bermakna jumpah jangkitan mungkin hampir 10,000. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button