Berita Utama

Orang ramai diminta tak sertai perhimpunan di Masjid Al-Mustaghfirin

Tiada kebenaran diberi kepada individu atau NGO untuk berkumpul

BALIK PULAU, 4 Jamadilawal 1443H, Khamis – Polis meminta orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan yang didakwa dianjurkan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di Masjid Al-Mustaghfirin Sungai Tiram, Bayan Lepas di sini selepas solat Jumaat esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain berkata polis ingin memaklumkan bahawa tiada sebarang kebenaran diberi kepada mana-mana individu atau NGO untuk berkumpul kerana ia melanggar peraturan dalam tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

“Hari ini pihak polis telah menerima maklumat berhubung poster dan satu video tular berdurasi 1 minit 44 saat menerusi laman sosial yang meminta orang ramai hadir ke perhimpunan itu bagi mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) supaya membenarkan jemaah menunaikan solat dalam keadaan saf yang rapat.

“Siasatan awal polis mendapati ahli jawatankuasa masjid itu dan Pejabat Agama Islam Barat Daya mengesahkan mereka tidak memberi sebarang kebenaran bagi penganjuran perhimpunan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jafri sehubungan itu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (AKta 342) Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan) (Pindaan) (No 11) 2021 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Menerusi video itu, seorang lelaki yang mendakwa mewakili sebuah NGO meminta orang ramai supaya hadir ke perhimpunan di masjid tersebut bagi mendesak kebenaran jemaah menunaikan solat dalam keadaan saf yang rapat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button