Pendapat

Perbezaan konsep pemilikan harta antara Barat dan Islam

Berpada-pada dalam kemewahan, ikut batas diharuskan sahaja

1. DALAM sistem Barat, siapa yang berusaha dan memiliki sesuatu maka dialah pemilik dan empunya. A berusaha mencari duit, duit dapat kat tangan dia, dialah pemilik duit. Dia gunakan duit untuk beli kereta, kereta bertukar ke tangan dia, maka dialah pemilik kereta.

2. Dalam Islam, konsepnya mungkin agak berbeza. Apa yang kita miliki, adakalanya adalah milik kita tapi adakalanya adalah hak orang lain yang diamanahkan kepada kita sahaja. Pemilik hakiki kepada semua benda adalah Allah sahaja.

3. Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ الله قد افترض عليهم صدقةً في أموالهم, تُؤْخَذ من أغنيائهم, فتُرَدُّ في فُقرائهم
“Allah mewajibkan ke atas mereka zakat dari harta mereka, diambil dari orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang faqir di kalangan mereka.”

Orang kaya di dalam hadis disebut al-ghaniyy. Ia bermaksud orang yang tidak perlu. Harta yang dimiliki adalah pada kadar yang dia perlu. Lebihan dari itu bukan keperluannya. Oleh kerana dia tidak perlu kepada lebihan itulah maka dia dipanggil al-ghaniyy.

Hadis menyebut harta dikembalikan kepada orang faqir. Bukan diberikan tetapi dikembalikan, kerana ada hak mereka di situ.

4. Noktah lain, Barat memberikan kebebasan untuk kita menggunakan apa yang kita miliki. Jika kita nak beri kepada sesiapa itu hanyalah ihsan dan budi baik sahaja.

5. Islam pula tidak membenarkan harta berlegar di kalangan orang kaya sahaja. Ia perlu diagihkan kepada orang yang memerlukan dari kalangan faqir, miskin, berkeperluan dan sebagainya. Di dalam al-Quran Allah berfirman:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ
“(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.” (Al-Hasyr: 7)

6. Konsep yang berbeza antara Barat dan Islam, menolak kita untuk memilih konsep apakah yang akan kita gunakan dalam pengurusan harta kita.

Syukurilah apa yang Allah beri kerana itu adalah anugerah Allah.

Kongsikan dengan yang lain kerana ada hak orang lain di dalam harta tersebut.

Berpada-pada dalam kemewahan pada batas yang diharuskan sahaja.

Sediakan diri untuk berpisah dengan harta yang dimiliki kerana permilikan itu hanya sementara.

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button