Berita UtamaDunia

China kejam, wajib bertanggungjawab atas genosid Uyghur

Beijing tidak boleh terus menipu masyarakat antarabangsa

BEIJING, 5 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Tribunal Uyghur menegaskan Presiden China, Xi Jinping memikul tanggungjawab utama berhubung pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan penyeksaan ke atas Uyghur dan Kazakhstan di Xinjiang.

“Republik Rakyat China (RRC) telah melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan penyeksaan terhadap warga Uyghur, Kazakhstan dan etnik minoriti lain di wilayah barat laut China yang dikenali sebagai Xinjiang.

“Tribunal berpuas hati bahawa Presiden Xi Jinping… dan pegawai kanan lain di RRC dan PKC (Parti Komunis China) memikul tanggungjawab utama untuk tindakan yang berlaku di Xinjiang,” katanya.

Tribunal itu – yang diketuai oleh peguam Britain Geoffrey Nice – tidak mempunyai kuasa sekatan atau penguatkuasaan.

Pakar Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan lebih sejuta orang, terutamanya Uyghur dan minoriti Islam lain, ditahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam sistem kem yang luas di wilayah Xinjiang, barat China.

China pada mulanya menafikan kem itu wujud, tetapi sejak itu berkata, ia adalah pusat vokasional dan direka untuk memerangi ekstremisme.

Pada penghujung tahun 2019, China berkata, semua orang di kem itu telah ‘lulus.’

Pada Jun 2020, Kongres Uyghur Sedunia (WUC) meminta Nice untuk menubuhkan tribunal bebas bagi menyiasat tuduhan itu.

WUC – berpangkalan di Munich – yang mewakili kepentingan Uyghur di Xinjiang dan di seluruh dunia, pada Khamis mengalu-alukan penghakiman tribunal itu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar China menolak WUC sebagai organisasi pemisah di bawah kawalan dan pembiayaan pasukan anti-China di Amerika Syarikat dan Barat.

“Apa yang dipanggil ‘mahkamah’ ini tidak mempunyai kelayakan undang-undang mahupun kredibiliti,” kata seorang jurucakap kementerian.

Dia menyifatkan keterangan yang diberikan sebagai palsu dan penghakiman muktamad sebagai ‘sandiwara politik yang dilakukan oleh beberapa badut.

China menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang.

“Pembohongan tidak boleh menyembunyikan kebenaran, tidak boleh menipu masyarakat antarabangsa mahupun menghentikan perjalanan bersejarah…kestabilan, pembangunan dan kemakmuran Xinjiang,” kata jurucakap kementerian itu mengenai tribunal Uyghur. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button