Berita Utama

Hapus SUHAKAM jika masih gagal berperanan ikut Perlembagaan

'Tolong henti manipulasi hak asasi dengan tipu, putar belit fakta': BERJASA

BANGI, 5 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Konon ‘berfungsi’ atas nama hak asasi manusia, namun perjuangan dan suara lebih cenderung kepada agenda Barat yang bertentangan prinsip Perlembagaan, budaya serta agama.

Lebih mengecewakan, hanya hak ‘songsang’ kumpulan minoriti sahaja yang mendapat perhatian dan simpati, namun memandang sepi hak golongan majoriti.

Atas sebab itu, parti BERJASA mengemukakan tiga tuntutan utama kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya kembali ke landasan sebenar, selaras dengan identiti Malaysia.

BERJASA menegaskan, SUHAKAM tidak relevan untuk kekal berperanan sekiranya prinsip dan perjuangan suruhanjaya itu mengikut kitab Barat.

Justeru, parti itu menuntut SUHAKAM berhenti memanipulasi isu hak asasi manusia dengan menipu serta memutar belit fakta.

“SUHAKAM tolong jangan paksa identiti luar yang songsang diterima sebagai identiti tanah air ini.

“Pengerusi SUHAKAM mestilah berdiri teguh menyokong norma budaya masyarakat tempatan yang tunjang identiti tanah air ini,” kata BERJASA dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Peranan dan fungsi SUHAKAM sering dipertikai selepas suruhanjaya itu dilihat terlalu lantang memperjuangkan golongan minoriti dan berhaluan kiri, termasuklah hak murtad, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak pekerja seks serta pengiktirafan gender ketiga.

Malah sebelum ini, terdapat beberapa perkara dalam Laporan Separuh Penggal mengenai Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang dikemukakan SUHAKAM kelihatan bercanggah dengan Perlembagaan dan bertentangan apa yang diperjuangkan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Ia termasuk memperjuangkan hak kebebasan agama bagi umat Islam, selain laporannya menggunakan istilah yang merujuk kepada jantina ketiga iaitu ‘non binary’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button