Dunia

Ghannouchi sedia mogok lapar protes layanan buruk di penjara

Pengasas Ennahda berdepan pertuduhan baharu selepas bertemu pemimpin pertubuhan pengganas

TUNIS, 5 Syawal 1444H, Rabu – Pengasas dan pemimpin utama Ennahda, Rached Ghannouchi bersedia untuk memulakan mogok lapar sebagai protes terhadap layanan buruk dialaminya sejak ditahan.

Sumber dari Ennahda berkata, Ghannouchi memaklumkan hasratnya untuk memulakan mogok itu sebagai protes atas layanan buruk diterima, selain melarang keluarganya melawat selepas polis mengenakan sekatan tidak adil terhadap lawatan berkenaan.

Keputusannya melancarkan mogok lapar dibuat ketika dia dipindahkan dari penjara ke Berek Pengawal Kebangsaan El-Aouina untuk bertemu Unit Anti-Keganasan bagi siasatan dalam kes baharu.

Difahamkan, pasukan pembelaan Ghannouchi tidak dimaklumkan mengenai pertuduhan baharu itu.

Bekas Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Tunisia itu antara beberapa individu berprofil tinggi ditangkap kerana dipercayai amat lantang mengkritik keras Presiden Kais Saied.

Pemimpin pembangkang haluan Islam itu kini berdepan pertuduhan baharu berkaitan dakwaan bertemu pemimpin pertubuhan ‘Ansar al-Sharia’, yang diklasifikasikan sebagai pertubuhan pengganas di Tunisia.

Sumber daripada Ennahda sebelum ini menafikan pertemuan itu berlaku, dan mengesahkan pertuduhan berkenaan adalah rekaan semata-mata.

Minggu lalu, Ennahda mengumumkan bahawa skuad keselamatan menyerbu rumah Ghannouchi dan menahannya ke satu destinasi yang tidak diketahui, sebelum disoal siasat tanpa wakil peguam.

Sehari kemudian, pasukan keselamatan Tunisia menyerbu dan menutup ibu pejabat Ennahda, termasuk pejabat lain parti itu di seluruh negara.

Ennahda yang dianggap sebagai beraliran sederhana Islam adalah parti paling banyak memenangi kerusi sebelum Presiden Kais Saied membubarkan Parlimen pada Julai 2021. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button