Berita Utama

Perjumpaan 19 ‘datuk bandar’ berkaitan usaha jaga keselamatan

Bukan merancang plot baharu untuk menawan Sabah

KOTA KINABALU, 5 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Perjumpaan 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina baru-baru ini adalah berkaitan usaha menjaga keselamatan dan rancangan mempertahankan kawasan itu dari elemen yang menggugat keselamatan, bukan merancang plot baharu untuk menawan Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata berita palsu berkenaan telah dimanipulasi individu tertentu yang cemburu dengan keamanan dan keselamatan dikecapi negeri ini serta Malaysia keseluruhannya.

“Maklumat itu tidak sahih, kita dapat maklumat perjumpaan itu fokus untuk keselamatan di sana bagi mempertahankan diri mereka daripada elemen pengganas, lawless elements dan sebagainya, kemudian mereka hendak menjemput lebih ramai pelabur masuk (ke kawasan itu).

“Maklumat ini dimanipulasi, ini bukan perlakuan daripada negeri tapi lebih kepada individu. Walau apapun kita di pihak keselamatan sentiasa bersedia, Sabah dan seluruh Malaysia kita sentiasa bersedia, ini bumi kita tetap kita akan pertahankan,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Komander Eastern Command daripada Datuk Ahmad Fuad Othman kepada Hamzah Ahmad, disaksikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah yang juga hadir.

Baru-baru ini, media melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan rancangan menyerang Sabah dipercayai diadakan di selatan Filipina, yang mana kononnya terdapat rancangan bagi merekrut 600 individu untuk menyerang negeri itu serta menghantar pengintip.

Hazani berkata pihak keselamatan di negara ini mempunyai kerjasama erat dengan pasukan keselamatan negara jiran melibatkan pertukaran maklumat dan pelbagai elemen bersama.

“Setiap kali ada acara besar di sana seperti pilihan raya akan timbul perkara seperti ini…kita ada kerjasama, jika ada ancaman pasukan keselamatan negara jiran akan salur maklumat kepada kita, seperti kumpulan Abu Sayyaf masuk Sabah kita terima maklumat dari mereka,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata beliau akan memastikan kerjasama erat terjalin dengan semua pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah bagi menjaga keamanan serta keselamatan di kawasan tersebut terutama di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

“Saya akan semak semula apa perlu diberi penambahbaikan dan kita buat pembaharuan dalam usaha penugasan keselamatan ini bagi memastikan kita berada dalam keadaan selamat dan baik sentiasa,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button