Berita Utama

Sikap ‘pejam mata’ pemimpin punca Melayu makin terabai

Bimbing hilang sokongan sekira menegur perkara yang benar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 5 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Pendekatan ‘pejamkan mata’ pemimpin Melayu demi menjaga peti undi dipercayai menjadi punca kepada berlakunya pelbagai masalah melibatkan isu kaum di negara ini.

Oleh itu, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan sikap tak bertanggungjawab berkenaan akan menyebabkan orang Melayu merempat di negara sendiri suatu masa nanti.

Kecewa dengan perkara tersebut, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hassan Mad mendakwa, semua ini berpunca daripada sikap pemimpin yang pentingkan diri sendiri.

“Kita lihat sahaja isu sekolah vernakular dan juga bahasa Melayu, pemimpin hari ini seperti membiarkan sahaja kes berkenaan sedangkan mereka tahu berlaku kesilapan.

“Tetapi demi kepentingan peribadi mereka ‘pejamkan mata’ kerana bimbang sokongan kepadanya akan hilang sekiranya mereka menegur ke arah perkara yang sebenar,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika sikap buruk itu diteruskan, orang Melayu boleh diumpamakan sedang membina jalan untuk terus ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.

“Mereka sanggup membiarkan bangsa lain terus berleluasa walaupun tahu ada kesilapan.

“Keadaan ini semua daripada sikap tamak haloba mereka yang hanya mendahulukan kepentingan diri berbanding fokus kepada kebajikan rakyat,” katanya

Sehubungan itu, Hassan menggesa, pemimpin Melayu yang berada di tampuk pemerintahan segera sedar dan mula mengambil tindakan pembetulan demi masa depan lebih baik.

“Saya yakin sekiranya mereka bekerjasama dan bertegas dalam isu bahasa Melayu yang perlu dimartabatkan semula kerana itu adalah bahasa kebangsaan kita yang perlu perjuangkan bersungguh-sungguh.

“Namun sayangnya, pemimpin kita lebih leka kepada kepentingan diri tanpa memikirkan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button