Berita Utama

Ambiga seru tolak dasar haram judi, penjualan arak

Dakwa cabul, langgar hak asasi orang bukan Islam

BANGI, 6 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Peguam Datuk S Ambiga menyifatkan dasar berkaitan pengharaman judi dan penjualan arak sebagai mencabuli hak orang bukan Islam.

Serentak itu, Ambiga mengajak orang bukan Islam kononnya sudah tiba masa untuk mereka menolak dasar berkenaan yang didakwa melanggar hak asasi manusia dan menindas pihak tertentu.

Aktivis hak asasi manusia itu mendakwa, walaupun kerajaan sedar dasar itu menghadkan hak orang bukan Islam, namun perkara berkenaan tidak dipedulikan.

“Beginilah cara mereka menceroboh sedikit demi sedikit dalam kehidupan kita.

“Setiap kali anda meletakkan agama pada mana-mana perkara, orang akan takut untuk mengkritik. Bagaimanapun saya tidak fikir kita sepatutnya begitu,” katanya seperti dilapor portal The Malaysian Insight.

Atas sebab itu, Ambiga berkata, sebarang perkara yang menjejaskan kehidupan mana-mana rakyat Malaysia dan didapati sebagai pelanggaran hak asasi manusia atau menindas, maka dia kononnya bertanggungjawab untuk bersuara.

“Saya tidak bersedia untuk dibuli untuk mempercayai sebahagian daripada kita adalah warga kelas kedua.

“Kali terakhir saya semak, tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan memecah-belahkan rakyat. Saya tidak bersedia untuk diberitahu bahawa subjek kaum dan agama adalah dilarang keranan saya adalah saya,” katanya.

Ambiga mendakwa, beliau juga tidak bersedia untuk mengubah suai tingkah laku supaya sesuai dengan perkauman, ekstremisme dan penderaan mana-mana pihak.

“Setahu saya isu yang menjejaskan hak asasi manusia, tidak kira bangsa, agama, jantina atau orientasi seksual mereka, tidak pernah dihalang.

“Semua orang harus mengutuk dengan lantang apa yang sedang berlaku. Kami kelihatan seperti orang bodoh di arena antarabangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button