Dunia

Bangladesh sita 1,000 kedai haram milik pelarian Rohingya

Didakwa sengaja beri tekanan supaya pelarian pindah ke Bashan Char

COX’S BAZAR, 6 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Pihak berkuasa Bangladesh merobohkan kira-kira 1,000 premis kedai milik pelarian Rohingya yang dibina tanpa permit di kem-kem penempatan.

Operasi menyita premis berkenaan dibuat pada Khamis dan Jumaat telah mencetuskan kekecohan kepada pemilik kedai yang terkejut dengan tindakan itu dan berebut untuk menyelamatkan barangan mereka.

Timbalan Pesuruhjaya Pelarian, Shamsud Douza berkata, pihak berkuasa sedang merobohkan kedai ‘haram’ di semua kem.

“Kita telah menyita kira-kira 1,000 kedai haram. Tindakan itu untuk membina perlindungan kepada Rohingya,” katanya.

Ratusan pelarian Rohingya berhimpun di tapak pengusiran ketika operasi menyita struktur premis berkenaan dilakukan.

Tindakan Bangladesh itu dikritik pekerja hak asasi manusia yang menyifatkan langkah berkenaan memberi ‘impak besar’ terhadap mata pencarian pelarian Rohingya.

Penyelidik kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang memantau keadaan di kem mendakwa, pihak berkuasa merobohkan kedai ‘haram’ berkenaan bagi memberi tekanan kepada pelarian Rohingya supaya bersetuju untuk berpindah ke Bashan Char di Teluk Bengal.

Bangladesh dipuji kerana menerima pelarian Rohingya – yang lari daripada kezaliman rejim Myanmar – namun kumpulan hak asasi manusia mengecam pihak berkuasanya kerana pemindahan kontroversi di pulau berisiko itu.

Setakat ini, Bangladesh telah menempatkan hampir 19,000 pelarian ke Bhashan Char. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button