Berita Utama

Cadangan rapatkan saf solat telah dikemukakan: Idris Ahmad

KKM sedang meneliti sebelum kebenaran diberikan

KUALA NERUS, 6 Jamadilawal 1443H, SabtuCadangan supaya saf bagi solat jemaah kembali dirapatkan telah dikemukan kepada pihak berwajib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, buat masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara itu dan kebenaran masih belum diperoleh lagi.

“Kita terpaksa akur dengan perkara tersebut demi kemaslahatan masyarakat namun akan terus berusaha untuk mencapai keputusan terbaik.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau pun agensi di bawah Hal Ehwal Agama tidak ada kuasa untuk memaksa mana-mana pihak bagi perkara ini, kerana ia juga tertakluk kepada bidang kuasa agama negeri masing-masing.

“Prosesnya adalah apabila ia telah dibincang, saya akan mengarahkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk dikemukakan kepada pihak Yang di-Pertuan Agong, begitu juga dengan negeri yang lain,” katanya yang dipetik portal tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, Idris memaklumkan, keputusan itu bergantung kepada bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing dan pandangan pihak MKN akan diutamakan.

“Mereka mempunyai pandangan sendiri, jadi kita kena hormat perkara ini, keputusan terakhir adalah tertakluk bidang kuasa di negeri itu sendiri.

“Sebab itu kita tengok kapasiti masjid dan surau di setiap negeri berbeza, seperti di Terengganu jemaah dibenarkan hadir mengikut keluasan masjid,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button