Berita Utama

Jabatan Pendidikan Melaka pantau isu keciciran murid sekolah

Bagi pastikan murid terlibat dapat dibantu dalam pelbagai aspek

MELAKA, 6 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka sedang memantau isu keciciran murid sekolah di negeri itu dalam tempoh penularan pandemik COVID-19 walaupun kadar keciciran di seluruh negara dalam tempoh dua tahun hingga Julai lepas dilaporkan lebih rendah berbanding 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata langkah itu bagi memastikan murid terlibat dapat dibantu dalam pelbagai aspek termasuk bantuan persekolahan agar mereka dapat memulakan sesi persekolahan baharu tahun hadapan.

“Dalam tempoh penularan COVID-19, ramai ibu bapa terjejas, hilang pekerjaan dan secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi keluarga namun kesusahan dihadapi bukan alasan untuk memberhentikan anak mereka daripada bersekolah.

“Justeru, saya sedang memantau perkembangan isu ini dan jika berlaku, saya berharap aduan segera dapat dilakukan pihak tertentu terus kepada saya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), JPN atau pihak sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran As Solihin dan Majlis Maulid Akbar di Paya Rumput di sini malam tadi.

Isnin lepas, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan berkata kadar keciciran murid sekolah ketika pandemik COVID-19 bagi tempoh dua tahun hingga Julai lepas lebih rendah, berbanding keciciran pada 2018.

Mah berkata berdasarkan data Kementerian Pendidikan (KPM) sebanyak 34,074 murid berhenti sekolah pada 2018, berbanding 21,316 murid bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai tahun ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan dan peruntukan untuk membantu murid dan ibu bapa yang terkesan akibat penularan COVID-19 bagi meringankan beban dihadapi mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Bajet 2022 negeri Melaka yang akan dibentangkan pada Persidangan Pertama (Khas) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 hujung bulan ini diharap memberi fokus pada pembangunan modal insan murid agar tidak berlaku isu keciciran disebabkan faktor lain antaranya murid kurang minat belajar.

“Aspek pembangunan murid adalah amat penting selain daripada pembangunan struktur sekolah atau sebagainya dan saya berharap aspek ini akan diberi keutamaan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata kira-kira RM2.5 juta diperlukan bagi menaik taraf Masjid As Solihin di Paya Rumput di sini.

Katanya sehingga kini, pihak pengurusan masjid berkenaan telah berjaya mengutip dana berjumlah RM700,000 daripada pelbagai pihak bagi melaksanakan projek tersebut dan orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan berkenaan boleh berhubung dengan pengurusan masjid. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button