Berita Utama

PRN Sarawak: SPR keluarkan 17,885 kertas undi pos

Pengundi diingatkan jaga kerahsiaan, tak rakam gambar kertas undi

BANGI, 6 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 17,885 kertas undi pos seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengeluaran kertas undi pos pada 8 Disember hingga 10 Disember itu dijalankan oleh petugas pilihan raya di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kesemua 17,885 kertas undi pos terdiri daripada 16,728 kategori Borang A1 (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media).

Manakala, 365 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 679 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) serta 113 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara, katanya.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kerta undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 18 Disember (Sabtu),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi untuk sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di media sosial.

SPR menetapkan undi awal PRN Sarawak pada 14 Disember manakala hari mengundi dijadual berlangsung pada 18 Disember ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button