Berita Utama

SUHAKAM cuba normalisasi agenda Barat?

Teliti semula kewujudannya, peruntukan lebih baik diberi kepada rakyat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 6 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sepatutnya memberi keutamaan dalam menegakkan perjuangan hak asasi rakyat di negara ini yang berdepan dengan pelbagai masalah diskriminasi dan penindasan.

Sebaliknya, apa yang berlaku hari ini adalah SUHAKAM dilihat dominan membawa isu bersifat global dengan ada di antaranya bertentangan dengan norma kehidupan di Malaysia.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari mendakwa, apa yang dilakukan oleh suruhanjaya itu boleh diumpamakan sebagai cubaan untuk menormalisasikan agenda Barat.

“Ini tidak sewajarnya berlaku, SUHAKAM perlu tegakkan hak asasi rakyat di sini dahulu sebelum memperjuangkan isu dunia.

“Namun badan itu dilihat tetap pejam mata dan telah berpaksikan Barat yang melampau sehinggakan isu-isu tempatan dipinggirkan.

“Ini menyebabkan peranan badan berkenaan sudah tidak relevan lagi kerana mempunyai kepentingan sendiri berbanding matlamat asal adalah memperjuangkan hak asasi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Katanya lagi, PEMBELA mula meragui kredibiliti SUHAKAM selepas ia menyatakan sokongan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), sedangkan terdapat banyak lagi isu dalaman yang boleh diperjuangkan.

“SUHAKAM perlu tahu, Malaysia adalah sebuah negara di bawah pentadbiran Islam dan menjadikan agama Islam adalah agama Persekutuan, negara ini tidak menerima budaya songsang.

“Perkara ini sangat jelik dan tidak wajar berlaku sedangkan keadaan itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan di negara kita sendiri,” katanya

Justeru, Mohd Nor Izzat menggesa peranan dan kewujudan SUHAKAM diteliti semula.

“Lebih baik kerajaan gunakan peruntukan yang digunakan SUHAKAM itu kepada perkara yang lebih bermanfaat kepada rakyat daripada ‘membela’ badan yang tidak membawa keuntungan kepada semua pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button