Berita Utama

Kes buli: Syor JPA wujudkan jawatan warden sekolah sepenuh masa

Elaun RM240 kepada guru merangkap warden ketika ini tak memadai

BANGI, 7 Jamadilawal 1443H, Ahad – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mempertimbangkan secara serius cadangan mewujudkan perjawatan warden asrama di sekolah asrama penuh (SBP) dan asrama harian.

Perjawatan baharu itu penting dan perlu dilaksanakan segera dalam usaha menangani masalah yang sering timbul termasuk kes buli.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, jawatan baharu yang dicadangkan bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebaliknya dalam bidang kuasa JPA.

Katanya, sejak sekian lama NUTP memperjuangkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama.

Ini berikutan, guru yang menyandang tugas berkenaan terpaksa menjalankan tugas hakiki mengajar di sekolah, dan pada masa sama menunaikan tanggungjawab menjaga dan mengawasi murid asrama sepanjang waktu.

“Besar harapan NUTP agar pihak JPA dapat memberikan pertimbangan serius untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu Aminuddin berkata, elaun sebanyak RM240 kepada guru merangkap warden itu yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa saja kejadian yang berlaku ke atas murid asrama tanpa mengira masa adalah tidak memadai.

“Disebabkan bebanan tugas itu, NUTP mendesak sejak dulu supaya jawatan warden asrama sepenuh masa diwujudkan dan sangat wajar disegerakan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, permasalahan itu sudah ada dalam pengetahuan KPM dan MARA kerana NUTP sudah berkali-kali membangkitkan isu ini.

“Jadi kami sekali lagi menyeru supaya isu yang berlaku perlu diteladani dan tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan tindakan beberapa remaja – yang dipercayai berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)- menumbuk dan menendang seorang pelajar secara beramai-ramai.

Menerusi video berdurasi 13 hingga 30 saat itu, seorang remaja dilihat menjadi mangsa buli apabila dia diminta berdiri tegak sebelum ditendang di bahagian belakang badan serta ditumbuk beberapa kali di perut oleh beberapa remaja lain.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan kejadian itu dan berjanji tidak berkompromi serta mengambil tindakan tegas terhadap pelajar dalam kes terbabit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button