Berita UtamaDunia

PM negara haram Israel ke UAE, bincang langkah eratkan hubungan

Bertemu Putera Mahkota Abu Dhabi, fokus isu ekonomi dan serantau

TEL AVIV, 7 Jamadilawal 1443H, Ahad – Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengadakan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini dan bertemu pemerintah de facto negara Teluk itu dalam lawatan peringkat tertinggi sejak kedua-dua negara menormalisasikan hubungan tahun lalu.

Lawatan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak – tatkala kuasa dunia cuba memperbaharui perjanjian nuklear dengan Iran.

Negara haram Israel telah membincangkan penubuhan pertahanan bersama negara-negara Teluk Arab yang berkongsi kebimbangannya terhadap aktiviti Iran.

Namun, UAE baru-baru ini telah meluaskan jangkauan ke negara jiran Iran dengan menghantar pegawai tertinggi ke sana Isnin lepas.

“Saya ke Emiriah Arab Bersatu, dalam lawatan pertama oleh seorang Perdana Menteri Israel,” kata Bennett kepada Kabinet.

Beliau akan bertemu Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed bin Zayed al-Nahyan esok, kata Pejabat Perdana Menteri.

“Pemimpin itu akan membincangkan mengenai langkah mengeratkan hubungan antara Israel dan UAE, terutamanya isu ekonomi dan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiada pengesahan segera daripada Abu Dhabi berhubung perkara itu.

Kedua-dua negara itu menormalisasikan hubungan tahun lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat – dikenali sebagai Perjanjian Abraham.

Perjanjian itu telah membawa kepada pelbagai tawaran dari pelancongan dan perniagaan kepada teknologi canggih. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button