SPRM sahkan pegawai terbabit kes jenayah
Tindakan tegas termasuk hukuman buang kerja jika bersalah

BANGI, 7 Jamadilawal 1443H, Ahad – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes jenayah rompakan di Jalan Ampang, baru-baru ini.
Kerjasama penuh telah diberikan kepada pihak polis bagi mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada agensi penguat kuasa.
“SPRM tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah.
“Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan sekiranya terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media tempatan melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, membabitkan kerugian hampir RM1 juta.
Dalam kejadian Jumaat lalu, tiga lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an.
Polis menjalankan siasatan dan menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa, masing-masing berusia 30-an.