Berita Utama

25 juta untuk universiti swasta, kerajaan patut tak perlu layan

Bertanggungjawb utamakan sekolah kebangsaan khusus di pedalaman

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin Tiada sebarang keperluan mendesak untuk kerajaan menambah peruntukan yang diberikan kepada Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).

Hal ini kerana status universiti berkenaan sebagai milik swasta dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutamakan sekolah di bawah kelolaannya.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berpendapat, adalah lebih baik peruntukan tersebut disalurkan kepada sekolah arus perdana khusus di kawasan pedalaman.

“Sepatutnya kerajaan tidak perlu melayan permintaan tersebut kerana telah diberikan sebelum ini, keadaan ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati pihak lain.

“Tidak mustahil dengan keputusan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada MIC, parti lain turut menuntut perkara yang sama,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan jumlah peruntukan yang sangat besar itu ia mampu membantu sekolah-sekolah kerajaan kini berdepan pelbagai masalah susulan daripada penularan COVID-19.

“Sekiranya disalurkan kepada sekolah-sekolah kebangsaan pasti membawa banyak manfaat ke arah kebaikan murid-murid kita terutama dalam usaha membaik pulih sekolah-sekolah yang uzur.

“Bukan itu sahaja, infrastuktur sekolah-sekolah daif juga boleh dibaik pulih daripada peruntukan berkenaan,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta kepada RM25 juta setahun untuk Universiti AIMST, mulai tahun depan daripada RM20 juta sebelum ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-75.

Universiti AIMST menawarkan jurusan perubatan, sains dan teknologi merupakan universiti swasta di bawah Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), yang dimiliki MIC dan berpusat di Merbok, Kedah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button