Berita UtamaDunia

3 anggota Hamas maut ditembak pada perarakan pengebumian di Lubnan

Fatah didakwa lakukan serangan, duta Palestin minta tunggu hasil siasatan

LUBNAN, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Tiga anggota Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) maut, semalam ekoran tembakan ketika perarakan pengebumian salah seorang anggotanya di kem pelarian di selatan Lubnan, kata kumpulan itu.

Pegawai Hamas, Raafat al-Murra mendakwa, anggota daripada pergerakan Fatah ‘menembak ke arah perarakan pengebumian’ seorang warga Palestin yang terbunuh pada hari Jumaat dalam satu letupan di kem Burj al-Shemali, di luar bandar pelabuhan Tyre.  

Enam orang turut cedera dalam kejadian tembakan itu.

Seorang penduduk kem memberitahu AFP pertempuran bersenjata berlaku selepas tembakan itu, dan kumpulan Fatah dan Hamas telah dikerahkan.

Bercakap kepada Reuters di Ramallah melalui telefon dari Beirut, Duta Palestin ke Lubnan, Ashraf Dabour menolak dakwaan Hamas.

“Ini adalah tindakan yang ditolak dan dikutuk… Jawatankuasa penyiasatan akan mendedahkan siapa yang berdiri di belakangnya.

“Kami telah menghubungi pemimpin Hamas dan menuntut mereka menunggu hasil siasatan,” kata Ashraf.

Secara rasmi, Lubnan menempatkan kira-kira 192,000 pelarian Palestin yang kebanyakannya tinggal di 12 kem di negara itu, menurut Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).  

Sebilangan puak Palestin bersenjata termasuk Hamas dan Fatah, memegang kawalan ke atas kem Palestin di negara itu.

Dengan persetujuan yang lama, tentera Lubnan tidak memasuki kem, meninggalkan keselamatan di dalam kem itu kepada kumpulan Palestin.

Anggota Hamas, Hamza Ibrahim Shahin meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami apabila letupan besar menggegarkan kem itu pada malam Jumaat, mencederakan beberapa orang.

Hamas dalam satu kenyataan pada hari Sabtu berkata bahawa letupan itu disebabkan oleh kerosakan elektrik di gudang yang mengandungi silinder oksigen dan gas untuk pesakit coronavirus, serta detergen dan pembasmi kuman.

Hamas menafikan laporan media bahawa depot senjata milik kumpulan itu telah diletupkan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button