Bayar saman PDRM di ATM Maybank
Pejabat Pos, aplikasi mudah alih MyBayar Saman juga boleh digunakan untuk selesaikan saman

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Pembayaran kompaun saman trafik dengan tawaran diskaun hingga 80 peratus boleh dilakukan menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, selain ATM, pesalah trafik juga boleh membayar saman itu di Pejabat Pos.
Di samping itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara, selain melalui portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman juga boleh menjadi medium pembayaran saman.
BH Online melaporkan, pembayaran saman bagaimanapun tidak boleh dilakukan menerusi sistem dalam talian Maybank.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengumumkan tempoh diskaun untuk bayaran kompaun saman trafik yang dijadualkan berakhir tengah malam tadi dilanjutkan hingga 31 Disember ini.