Berita Utama

Filem LGBT: YADIM buat aduan kepada SKMM

Menteri agama gesa masyarakat tentang normalisasi perbuatan songsang

BANGI, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung sebuah filem berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipercayai bakal ditayangkan untuk tontonan umum.

YADIM berkata, aduan itu dibuat susulan klip filem tempatan berjudul ‘Stay Away From Me’ yang menampilkan beberapa pelakon lelaki muda tular dalam media sosial baru-baru ini, dipercayai untuk menarik minat ramai.

Aduan itu telah disampaikan oleh pegawai YADIM kepada Unit Aduan Pengguna SKMM.

“Selain itu, YADIM turut mengenal pasti aplikasi yang mempunyai unsur yang sama iaitu Blued:Gay Live Chat dan Dating dalam senarai App Store/Google Play Store,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu mendapat perhatian dan perkongsian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang mengucapkan tahniah kepada YADIM di atas tindakan berkenaan.

“Syabas diucapkan kepada YADIM yang cakna terhadap penerbitan filem berunsurkan LGBT yang akan ditayangkan.

“Terima kasih atas aduan yang dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Diseru agar masyarakat kita menentang sekeras-kerasnya normalisasi perbuatan songsang dalam negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SKMM mengenai sebuah siri filem dalam bentuk kandungan digital yang dikatakan berunsur LGBT.

Beliau turut menggesa SKMM untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang kandungan digital atau cetak yang berunsurkan budaya songsang itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button