Berita Utama

Kaji semula fungsi SUHAKAM sebelum terlambat

SUHAKAM mesti kembali semula kepada tujuan asal penubuhannya

TUJUAN penubuhan SUHAKAM begitu murni sekali. Persoalannya, adalah ahli-ahli yang dilantik menganggotai suruhanjaya tersebut.

Sudah sampai masanya, mereka yang dilantik, dikaji dan disiasat latar belakangnya.

Lantik mereka dalam kalangan yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan, agar mempunyai jati diri.

Jangan sama sekali lantik mereka yang mengingkari Rukun Negara, ingkar kepada perintah tuhan mereka sendiri dan tidak ada jati diri.

Paling menyedihkan, ada wakil agamawan di situ, tidak kedengaran suaranya. Bersuaralah. Jika suara kamu tidak didengari di sana, kamu ada media sosial untuk bersuara. Itu juga hak asasi.

Begitu juga lantikan mereka dalam kalangan bukan Islam, tidak menjadi masalah, tetapi biarlah dalam kalangan yang kuat berpegang kepada ajaran agama dan berpegang teguh kepada Perlembagaan negara. Bukannya dalam kalangan mereka yang liberal, sekular dan menyimpang daripada memahami hak asasi manusia yang sebenar

Pada dasarnya suruhanjaya adalah satu badan khas yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan dalam pemerintahan negara.

Dalam konteks negara kita, suruhanjaya dibahagikan kepada dua iaitu Suruhanjaya tetap dan suruhanjaya sementara.

Suruhanjaya tetap terbahagi kepada dua itu suruhanjaya pilihan raya dan suruhanjaya perkhidmatan.

Manakala bagi bagi suruhanjaya sementara pula, ia diwujudkan bagi mengkaji perkara-perkara dan membuat perakuan untuk penyelesaian sesuatu masalah atau perkara yang tertentu.

Sebenarnya, pembentukan suruhanjaya sama ada tetap atau sementara adalah untuk memastikan suruhanjaya ini dapat menjalankan tugas pentadbiran dengan bijak, adil dan cekap, khususnya dalam membentuk negara yang aman dan harmoni.

Sekiranya suruhanjaya yang ditubuhkan boleh menimbulkan masalah kepada ketenteraman awam, maka sudah sewajarnya dilihat semula secara serius, sebelum nasi menjadi bubur.

Antara perkara yang mesti diketahui oleh sesebuah suruhanjaya adalah mereka mesti bertindak berasaskan neraca keadilan dan berkecuali, berpaksikan Perlembagaan dan budaya negara.

Tindakannya mesti bebas daripada pengaruh politik. Sebab itulah, kita lihat keahlian mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas budi bicara baginda selepas menimbangkan nasihat Perdana Menteri.

Tidak dapat dinafikan, SUHAKAM pernah dikritik kerana tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pencabulan hak asasi manusia. Badan itu hanya boleh menasihati dan mengesyorkan kepada kerajaan dan kerajaan juga tidak punya obligasi untuk menerima atau mempertimbangkan nasihat atau syor SUHAKAM.

Meskipun SUHAKAM tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan, tindak-tanduknya dalam beberapa isu terpilih sering menimbulkan keresahan.

Terutama apabila berkait dengan isu-isu sensitif seperti hak LGBTQ, SUHAKAM dilihat begitu cepat memberikan respon dalam memberikan sokongan.

Tindakan sebegini bukan sahaja menimbulkan masalah, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, undang-undang Syariah dan Undang-Undang Sivil.

SUHAKAM juga melihat Akta SUHAKAM (Akta 597) itu sendiri. Seksyen 4(4) Akta SUHAKAM menetapkan dengan jelas, perhatian SUHAKAM hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948, berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Sepanjang kewujudannya, ada beberapa ahli suruhanjaya ini dilihat agak kerap memperjuangkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Seksyen 4(4) Akta SUHAKAM itu sendiri.

Persoalanya, bagaimana orang sebegini boleh menganggotai SUHAKAM? Siapakah yang mencadangkan mereka ini dilantik? Adakah kita sudah tandus pegawai kerajaan atau profesional berjati diri yang boleh dilantik menganggotai SUHAKAM?

Penubuhan SUHAKAM merupakan satu perkara yang baik. Begitu juga dengan akta penubuhannya.

Cuma kerana nila setitik rosak susu sebelanga, atas keceluparan mulut ahli-ahli yang mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan perlembagaan dan akta mereka sendiri.

Selain LGBTQ, cuba kita sorot kembali kenyataan SUHAKAM berkaitan isu pelacuran, gender ketiga, undang-undang murtad yang disifatkan sebagai satu diskriminasi dan banyak lagi kontroversi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Dalam perkara berkaitan dengan hak hak asasi seperti hak wanita muslim yang didiskriminasi, terbaharu, isu diskriminasi, hak, kebajikan dan penindasan golongan rider serta vendor P-Hailing, tidak pula kedengaran suara SUHAKAM.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan yang mempunyai kuasa melantik ahli-ahli suruhanjaya ini menimbang semula pelantikan keanggotaan SUHAKAM pada masa akan datang. Gantikan dengan mereka yang ada jiwa Rukun Negara, berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta SUHAKAM itu sendiri.

Saya Cuma nak ingatkan SUHAKAM bahawa neraca hak asasi kita bukanlah berkiblatkan hak asasi Barat, tetapi berpandukan kepada cara hidup kita berperlembagaan.

Apakah kita mahu membina hak asasi berpandukan kepada hak asasi Barat yang ternyata telah hancur? Apakah kita mahu bina hak tersebut atas kehancuran mereka?

Kepada negara Barat yang bertuhankan demokrasi, sekiranya majoriti rakyat mahukan LGBT, maka tidak ada kuasa yang boleh menghalangnya. Meskipun negara kita mengamalkan sistem demokrasi, tetapi tetapi demokrasi kita tidaklah sampai ke tahap itu.

Jangan kerana negara Taiwan yang telah menghalalkan LGBTQ dan beberapa negara lain di Asia yang ‘mesra’ LGBTQ, seperti Thailand, Cambodia, Jepun, Filipina, Hong Kong, Vietnam, Nepal, Mongolia, Loas dan India, sehingga kita lupa, bahawa kita adalah Malaysia, yang penduduk Islamnya adalah majoriti. Islam pula termaktub sebagai agama Persekutuan.

Saya begitu teruja untuk membaca kenyataan ahli-ahli beragama Islam dalam SUHAKAM mengenai isu sebegini. Setakat ini, kita lihat yang lantang itu adalah bukan Islam. Takkan kita tidak boleh pertahankan hak sendiri di bumi sendiri? Apakah inilah yang dikatakan nasib Melayu di bumi Melayu? Apa kita nak jawab nanti di hadapan Rabbul Jalil?

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button