Berita Utama

Kerajaan rancang buka Pejabat Penasihat Pertahanan di Mesir

Mendokong Kertas Putih Pertahanan yang menitik berat usaha ke arah diplomasi pertahanan

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Kerajaan merancang mewujudkan Pejabat Penasihat Pertahanan baharu di Mesir bagi mendokong Kertas Putih Pertahanan yang menitik berat usaha ke arah diplomasi pertahanan, sama ada di peringkat bilateral dan multilateral.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, kerajaan turut mengkaji keperluan menggunakan Penasihat Pertahanan Malaysia sedia ada di Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara) berhampiran seperti di Malawakil Riyadh, Arab Saudi atau Malawakil Ankara, Turki untuk diakreditasi ke Mesir bagi membantu sebarang urusan berkaitan hubungan pertahanan antara Malaysia dan Mesir.

Beliau berkata, ia berpotensi untuk memperluaskan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang pertahanan seperti latihan ketenteraan, pendidikan ketenteraan dan industri pertahanan.

“Penasihat Pertahanan merupakan pengantara dari segi pertahanan dan keselamatan negara selain merupakan wakil kepada Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera dalam acara rasmi yang melibatkan pertahanan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang mewujudkan semula atase tentera di Mesir serta bila ia akan dilaksanakan bagi membantu memudahkan kemasukan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia ke Gaza untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Menjawab soalan tambahan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) mengenai penubuhan pejabat Penasihat Ketenteraan yang baharu di seluruh dunia, beliau berkata kerajaan ketika ini belum merancang untuk membuka Pejabat Penasihat Pertahanan yang baharu kecuali di Kaherah, Mesir.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pertahanan sedang dalam proses untuk melaksanakan rancangan akreditasi bagi beberapa Penasihat Pertahanan ke beberapa buah negara.

Antaranya Penasihat Pertahanan di Malawakil Ankara ke Qatar; Malawakil Moscow ke Belarus; Malawakil Paris ke Belanda; Malawakil Riyadh ke Jordan dan Oman; Malawakil Washington ke Kanada dan Malawakil Yangon ke Bangladesh.

“Pada masa kini, terdapat dua buah negara yang telah memberi kelulusan untuk akreditasi Penasihat Pertahanan Malaysia ke negara mereka iaitu akreditasi Penasihat Pertahanan di Yangon, Myanmar ke Bangladesh dan juga akreditasi Penasihat Pertahanan di Washington, Amerika Syarikat ke Kanada,” katanya. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button