Berita Utama

Perbicaraan 1MDB ditangguh, MySejahtera klasifikasi Najib sebagai PUS

Kes berkaitan dana 1MDB akan disambung semula esok

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguh ke esok setelah MySejahtera mengklasifikasikannya sebagai individu dalam perintah pengawasan dan pemerhatian (PUS).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan hari ini selepas peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa status MySejahtera Najib dan peguam utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kekal, masing-masing sebagai “PUS” dan “kontak kasual”, walaupun selepas memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai hasil ujian COVID-19 mereka.

Hariharan berkata sebelum itu semasa tiba di mahkamah, status MySejahtera Najib dinyatakan sebagai PUS manakala status Muhammad Shafee dinyatakan sebagai “kontak kasual”, namun status kedua-duanya bertukar kepada status biru (berisiko rendah) selepas pihak keselamatan mahkamah mengarahkan mereka untuk mengemas kini pemuatan profil MySejahtera mereka.

“Bagaimanapun, mereka diminta untuk mengemas kini pemuatan profil MySejahtera mereka semula selepas memasuki bilik mahkamah dan status mereka kembali kepada “kontak kasual” dan PUS,” kata Hariharan.

Hakim kemudiannya mengarahkan Najib dan Muhammad Shafee supaya mengambil ujian RTK Antigen dan memaklumkan keputusannya kepada KKM agar status mereka boleh dinilai semula.

Beliau kemudian memerintahkan agar prosiding disambung semula esok bagi membolehkan pihak pembelaan mengemas kini status MySejahtera Najib dan Muhammad Shafee.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib berkata dua saksi yang sepatutnya memberi keterangan minggu ini iaitu bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan pegawai khas Najib Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail tidak dapat hadir ke mahkamah.

“Kami telah menerima arahan daripada TPR kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram supaya memohon perbicaraan itu dijalankan secara hibrid,” kata Ahmad Akram.

Hariharan bagaimanapun membantah cadangan untuk menjalankan perbicaraan dalam talian itu dan menegaskan bahawa pihak pendakwaan mempunyai masa hampir sebulan untuk menyediakan saksi baharu di mahkamah.

Hakim Sequerah berkata beliau akan memutuskan permohonan perbicaraan hibrid esok.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button