Berita Utama

Seruan saja tak cukup, PM perlu kerah penguatkuasaan martabat bahasa Melayu

Beri mandat pada DBP kuat kuasa penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Adakah teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap agensi kerajaan, swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kurang menggunakan bahasa Melayu, disambut oleh anggota di dalamnya serta ahli jemaah menteri?

Demikian persoalan dilemparkan oleh Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, PPMM amat mengalu-alukan seruan Perdana Menteri namun berpandangan jika hanya berdasarkan pengumuman sahaja tanpa pelaksanaan, ia dilihat tidak akan ‘pergi’ ke mana-mana. 

Tegasnya, seruan itu perlu dilaksanakan dengan pengukuhan Akta Bahasa Kebangsaan serta memberi mandat ‘penguatkuasaan’ yang tegas di dalam menggunakan bahasa kebangsaan. 

“Walaupun bahasa Melayu pernah menjadi ‘lingua franca’ tetapi kini usaha untuk kembali kepada kegemilangan tersebut seolah-olah seperti nyawa-nyawa ikan sahaja.

“Bahasa jiwa bangsa, bahasa adalah alat perpaduan. Banyak perkara dapat diselesaikan jika bahasa kebangsaan ini dipraktikkan dengan berkesan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi mandat penguatkuasaan serta pendakwaan bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

November lalu, Perdana Menteri menyatakan harapan supaya pihak berkenaan dapat menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan termasuk mesyuarat dan persidangan.

Katanya, ia sebagai usaha dan peranan Malaysia bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang serta digunakan bersama-sama bahasa lain.

“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat bahasa Melayu melainkan kita sendiri?” tegas Ismail Sabri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button