Berita Utama

Siasat latar belakang anggota SUHAKAM

Banyak anggota liberal, sekular dan menyimpang memahami hak asasi manusia sebenar

BANGI, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Sudah sampai masanya mereka yang dilantik menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dikaji dan disiasat latar belakangnya.

Mengesyorkan perkara itu, pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, anggota suruhanjaya itu perlu terdiri daripada mereka yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, agar mempunyai jati diri.

“Jangan sama sekali lantik mereka yang mengingkari Rukun Negara, ingkar kepada perintah tuhan mereka sendiri dan tidak ada jati diri.

“Paling menyedihkan, ada wakil agamawan di situ, tidak kedengaran suaranya. Bersuaralah. Jika suara kamu tidak didengari di sana, kamu ada media sosial untuk bersuara. Itu juga hak asasi,” katanya dalam artikel yang disiarkan di Ismaweb.net, hari ini.

Prof Mohd Ridhuan Tee berkata, lantikan anggota daripada kalangan bukan Islam juga tidak menjadi masalah untuk berkhidmat dalam suruhanjaya itu.

Pun begitu, katanya, mereka perlu kuat berpegang kepada ajaran agama masing-masing dan Perlembagaan negara. 

“Bukannya dalam kalangan mereka yang liberal, sekular dan menyimpang daripada memahami hak asasi manusia yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana sepanjang kewujudannya terdapat beberapa ahli suruhanjaya berkenaan dilihat agak kerap memperjuangkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Seksyen 4(4) Akta SUHAKAM itu sendiri.

“Persoalannya, bagaimana orang sebegini boleh menganggotai SUHAKAM? Siapakah yang mencadangkan mereka ini dilantik? Adakah kita sudah tandus pegawai kerajaan atau profesional berjati diri yang boleh dilantik menganggotai SUHAKAM.

“Penubuhan SUHAKAM merupakan satu perkara yang baik. Begitu juga dengan akta penubuhannya. Tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

“Atas keceluparan mulut ahli-ahli yang mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan perlembagaan dan akta mereka sendiri,” katanya.

Antara topik kontoversi membabitkan kenyataan SUHAKAM termasuk isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT), isu pelacuran, gender ketiga, undang-undang murtad yang disifatkan sebagai satu diskriminasi dan banyak lagi kontroversi menggugat ketenteraman awam.

Selain itu juga, katanya, perkara berkaitan dengan hak asasi wanita muslim yang didiskriminasi, penindasan hak golongan rider serta vendor P-Hailing, tidak pula kedengaran suara SUHAKAM.

“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan yang mempunyai kuasa melantik ahli-ahli suruhanjaya ini menimbang semula pelantikan keanggotaan SUHAKAM pada masa akan datang. 

“Gantikan dengan mereka yang ada jiwa Rukun Negara, berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta SUHAKAM itu sendiri,” katanya.

BACA PENUH ULASAN PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH DI KOLUMNIS ISMAWEB.NET

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button