Berita UtamaDunia

Taliban gesa dunia iktiraf pentadbiran Afghanistan

China beri jaminan untuk bekerjasama, tangani krisis negara itu

KABUL, 8 Jamadilawal 1443H, IsninPemangku Menteri Undang-Undang Afghanistan, Abdul Hakim Sharaye menggesa, negara-negara luar menerima dan mengiktiraf pentadbiran kerajaan Afghanistan.

Permintaan berkenaan dibuat selepas mendakwa, pentadbiran baharu Afghanistan kini telah mematuhi segala undang-undang antarabangsa.

“Kami tahu bagaimana mahu membina hubungan dengan negara-negara luar malah negara-negara jiran juga mempunyai hak terhadap kami dan kami mematuhi hak-hak tersebut.

“Kami juga berjanji kepada China dan negara-negara jiran, tanah ini tidak akan digunakan untuk keganasan selain berikrar untuk tidak menentang mereka,” kata jurucakapnya, Zabiullah Mujahid .

Zabiullah mendakwa, biar pun sudah melebihi tiga bulan Taliban berkuasa namun masyarakat antarabangsa sehingga kini masih belum mengiktiraf pentadbirannya.

Sementara itu, Duta China di Kabul, Wang Yu berkata, kerajaan bersedia bekerjasama dengan Afghanistan bagi menangani krisis kemanusiaan, ekonomi dan juga politik di negara ini.

Katanya, Presiden China, Xi Jinping dan Menteri Luar, Wang Yi serta beberapa pemimpin utama negara itu telah menghadiri persidangan antarabangsa di Afghanistan.

“Mereka menunjukkan dasar negara itu kepada kerajaan sementara Afghanistan dan secara umum menggesa masyarakat antarabangsa untuk tidak membiarkan negara itu bersendirian serta menyalurkan bantuan kepada negara berkenaan,” katanya.

Malah, Yi juga berkata, China juga turut menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya tidak membekukan lagi aset negara berkenaan.

Jurucakap Taliban bagaimanapun sekali lagi memberi jaminan kepada negara serantau bahawa kerajaan Afghanistan tidak akan mengancam sesiapa.

Malah menggesa negara luar menyambung semula hubungan diplomatik dengan negaranya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button