Berita Utama

Tanah di Sungai Baru, Kampung Baru akan diambil secara adil

'Semua akan diberi keadilan sebaiknya': Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberi jaminan isu pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Baru di sini akan dilaksanakan secara adil dan mementingkan kepentingan pemilik lot/ flat PKNS Sungai Baru.

Shahidan berkata beliau sendiri akan berunding dengan pemilik dan pemaju terlibat bagi memastikan satu persetujuan yang adil dapat dicapai.

“Semua akan diberi keadilan sebaiknya. Kalau tidak pun saya akan kurangkan masalah di tahap yang minimum… saya ingat pada Januari, saya kira akan selesaikan dan selepas itu kita akan lihat pembangunan Kuala Lumpur secara keseluruhan,” katanya dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab usul yang dibawa Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) berkaitan isu Sungai Baru, Kampung Baru.

Menurut Shahidan bagi menyelesaikan isu itu, beliau mencadangkan kepada pemaju supaya membayar dahulu nilai hartanah kepada pemilik dan membenarkan mereka membeli unit rumah gantian apabila ia siap dibina.

Langkah itu katanya, bagi memastikan pemilik tidak menjadi mangsa rumah terbengkalai sekiranya pemaju tidak dapat melunaskan tanggungjawab mereka.

“Kita nak pastikan pemaju ada kekuatan kewangan dan bukan guna tanah untuk cari duit. Banyak pemaju kini boleh membayar dahulu,” katanya.

Terdahulu, ketika membahaskan usul itu Khalid mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah di kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan semula oleh pemaju swasta.

Usul tersebut turut dibahas tiga lagi Ahli Parlimen iaitu Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Teresa Kok (PH-Seputeh). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button