Dunia

Varian Omicron lebih mudah berjangkit berbanding Delta: WHO

Bukti awal dedah varian baharu kurangkan keberkesanan vaksin

GENEVA, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa varian baharu COVID-19, Omicron lebih mudah berjangkit daripada strain Delta, selain turut mengurangkan keberkesanan vaksin namun tidak membawa kepada gejala teruk.

Varian Delta – yang pertama kali dikenal pasti di India awal tahun ini – adalah antara penyumbang terbesar kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia.

Bagaimanapun, penemuan Omicron di Afrika Selatan – yang mempunyai sejumlah besar mutasi – pada bulan lalu mendorong kebanyakan negara di seluruh dunia mengenakan larangan perjalanan ke atas Afrika Selatan dan menguatkuasakan semula sekatan domestik untuk menangani penularan.

WHO berkata, Omicron telah merebak ke 63 negara setakat 9 Disember lalu. 

Penularan lebih cepat dilaporkan di Afrika Selatan, di mana Delta tidak memonopoli kes jangkitan di sana.

Namun tegasnya, kekurangan data menyebabkan pertubuhan itu tidak dapat menyatakan kadar transmisi Omicron ekoran ia kurang terdedah kepada tindak balas imun atau kebolehtransmisi yang tinggi atau kedua-duanya.

“Bukti awal menunjukkan Omicron menyebabkan pengurangan dalam keberkesanan vaksin kepada jangkitan serta penularan.

“Berdasarkan data semasa yang tersedia, kemungkinan Omicron akan mengatasi varian Delta di mana transmisi komuniti boleh berlaku,” kata WHO dalam sesi taklimat teknikal.

Jangkitan Omicron setakat ini hanya menyebabkan gejala ringan atau tanpa gejala, namun WHO berkata, data itu tidak mencukupi untuk menentukan tahap klinikal varian itu.

Sebelum ini, pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech mendakwa bahawa tiga dos suntikan vaksin itu masih berkesan terhadap Omicron. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button