Berita Utama

COVID-19: Bantuan bulanan RM300 untuk anak yatim di Perak

RM1 juta diperuntuk tampung sara hidup, pendidikan hingga usia 21 tahun

BANGI, 9 Jamadilawal 1443H, Selasa – Kerajaan Perak akan memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 bagi membela nasib anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat wabak COVID-19.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, seramai 250 pelajar yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan negeri menjadi anak yatim dan yatim piatu disebabkan wabak itu.

Beliau berkata, bantuan bulanan berkenaan diberikan melalui Skim Saham Felcra yang disalurkan menerusi penjaga anak-anak yatim terbabit.

“Senarai ini dalam tindakan siasatan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah bagi penentuan kelayakan bantuan berdasarkan syarat-syarat yang berkuat kuasa.

“Sepertimana yang saya umumkan dalam Belanjawan Negeri 2022 pada Jumaat lalu bagi membela nasib anak-anak ini, kerajaan negeri akan mewujudkan Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak dengan Peruntukan RM1 juta untuk menampung sara hidup dan pendidikan anak-anak ini sehingga berusia 21 tahun,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah merangka pelbagai inisiatif dalam memberikan bantuan dari aspek psikologi dan kaunseling secara bersemuka atau dalam talian kepada keluarga yang terkesan dengan kematian waris akibat COVID-19.

Katanya, bagi 250 pelajar yang kehilangan ibu bapa itu, pihak sekolah melalui guru kaunseling masing-masing diharap mengambil tindakan sama untuk memberi bimbingan dan nasihat motivasi kepada anak-anak berkenaan.

Saarani berkata, usaha itu perlu dilakukan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih bersemangat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button