Dunia

Gempa 7.4 magnitud gegar timur Indonesia

Tiada maklumat segera mengenai kemalangan jiwa, kerosakan

JAKARTA, 9 Jamadilawal 1443H, Selasa – Gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud menggegarkan wilayah timur Indonesia hari ini, sehingga mencetuskan amaran tsunami, menurut jabatan kaji cuaca.

Bagaimanapun, tiada maklumat segera dikeluarkan mengenai sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan.

Amaran tsunami dikeluarkan untuk kawasan Maluku, Nusa Tenggara Timur, Nusa Tenggara Barat dan Sulawesi Selatan selepas gempa melanda 112 kilometer pada kedalaman 12km di bahagian timur Flores.

Penyiasatan Geologi AS berkata, gempa itu melanda wilayah berkenaan kira-kira 10.20 pagi waktu tempatan dengan kekuatan 7.3 magnitud.

Gegaran susulan berukuran 5.6 magnitud dilaporkan melanda Larantuka selepas gempa pertama, kata agensi Indonesia.

“Ia terasa seperti ombak, naik dan turut,” kata seorang penduduk Larantuka, Zacharias Gentana Keranz.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Flores Timur di Larantuka, Alfons Hada Betan berkata, tiada laporan segera mengenai kerosakan dilaporkan, dan gempa dirasai selama beberapa minit.

Pengguna media sosial di Indonesia mendakwa bahawa gegaran itu turut dirasai kuat di Makassar, Sulawesi Selatan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di AS berkata, berdasarkan parameter awal gempa bumi, gelombang tsunami berbahaya mungkin berlaku untuk pantai yang terletak dalam jarak 1,000 kilometer dari pusat gempa.

Justeru, agensi meteorologi mengingatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan pantai dan memaklumkan amaran tsunami akan ditarik balik sekurang-kurangnya dua jam selepas dikeluarkan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button