Berita Utama

Kerajaan perlu lakukan sesuatu supaya rakyat bangga guna bahasa kebangsaan

Pemimpin perlu ada komitmen, barulah dikatakan kepimpinan melalui tauladan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Jamadilawal 1443H, Selasa – Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dengan membina psikologi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia seluruhnya perlu dilakukan demi memahami bahawa kita mempunyai jati diri. 

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, Malaysia perlu ada kekuatan psikologi bahawa bahasa kebangsaan mempunyai kedaulatannya tersendiri. 

Beliau memberikan contoh negara jiran seperti rakyat Thailand dan Indonesia, tidak kira kaum apa sekali pun yang teguh menggunakan bahasa kebangsaan mereka, baik dalam urusan rasmi mahupun kegiatan seharian. 

Bagaimanapun, katanya, kekuatan jati diri yang ingin disemat pada rakyat juga bertitik tolak daripada usaha para pemimpin.  

“Sebab itu kami sangat berterima kasih kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan bahasa Melayu dalam ucapannya pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26). 

“Beliau bercakap secara peribadi kepada saya, bahawa dia perhatikan negara lain bercakap dalam bahasa masing-masing. Kenapa tidak kita. 

“Jadi ini satu permulaan yang baik. Kalau ada kekuatan psikologi begitu, insya-Allah rakyat biasa bahkan swasta akan patuh. Barulah dikatakan kepimpinan melalui tauladan,” katanya dalam program Dimensi yang disiarkan secara langsung di TV Pertiwi, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara ini mengamalkan Dasar Pandang ke Timur, tetapi tidak mencontohi penggunaan bahasa kebangsaannya.

“Mengapa Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh, tak dipandang soal bahasa. Yang dipandang soal lain, industri dan ekonominya sahaja. Inilah masalah menyebabkan keyakinan diri kita agak rendah,” katanya. 

Atas dasar itu katanya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bergerak mengikut akta. 

Tetapi, beliau kesal apabila terdapat banyak percanggahan dengan fungsi DBP itu sendiri apabila melibatkan pengukuhan bahasa kebangsaan.

“Kita ada akta sendiri, tetapi banyak percanggahan. Kalau kita lihat objektif pertama DBP adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.

“Tiba-tiba Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan waktu zaman Tun Dr Mahathir Mohamad. DBP nak perkenal bahasa Melayu dalam buku teks tak dibenarkan. 

“Disebabkan percanggahan sebegini, sukarkan kemajuan pemantapan bahasa,” katanya.

Tegas Awang Sariyan, kerajaan perlu memberi kewibaan kepada DBP untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pesalah bahasa.  

“Kalau tidak DBP dikatakan harimau kertas, harimau tak bergigi. Kita ada gigi tetapi ditahan. Akta ada. 

“Kalau di pusat perancangan bahasa di Perancis. Di sana ada undang-undang ambil tindakan pada orang yang tidak hormat bahasa kebangsaan. 

“Sebuah syarikat di Perancis yang tidak gunakan bahasa Perancis dalam laman web, dikenakan tindakan beribu euro. 

“Jadi DBP perlu diberi sedikit wibawa untuk berkuasa. Saya dapati kuasanya terkekang. Ini mesti diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Pautan Dimensi:

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/208234158176507

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button