Berita Utama

KPM disaran tambah baik kurikulum pendidikan agama, moral: Mufti

Berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak, adab sopan

GEORGE TOWN, 9 Jamadilawal 1443H, Selasa – Kejadian buli yang berlaku dalam kalangan pelajar membuktikan kurikulum pendidikan agama dan moral yang diterapkan di sekolah mungkin kurang berkesan dalam membentuk sahsiah pelajar.

Pandangan berkenaan disuarakan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd. Noor berikutan kes buli membabitkan pelajar semakin berleluasa.

“Tidak syak lagi ini berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak dan kepincangan adab kesopanan dalam kalangan sebahagian pelajar.

“Penyelesaian segera perlu dilakukan oleh pihak berwajib terutama Kementerian Pendidikan.

“Gejala ini menunjukkan hakikat bahawa kurikulum pendidikan agama dan moral yang digunakan di sekolah-sekolah kebangsaan selama ini gagal atau kurang berkesan dalam pembentukan sahsiah para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan ibu bapa patut dipertanggungjawabkan kerana menyerahkan pendidikan moral anak-anak sepenuhnya kepada sekolah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan adalah tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak dalam isu buli kerana tanggungjawab dalam pendidikan moral atau akhlak perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, sekolah, masyarakat dan termasuk juga pihak media.

Sebelum ini, tular video mengenai kejadian buli membabitkan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak.

Terbaharu, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara, MRSM yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli berkenaan.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa serta merta.

Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button