Dunia

Lagi rakyat Palestin mati dibunuh kejam rejim Zionis

Jamil al-Kayyal maut akibat parah ditembak di kepala

RAMALLAH, 9 Jamadilawal 1443H, Selasa -Kekejaman rejim haram Israel tidak pernah berhenti, terbaharu seorang lelaki Palestin terbunuh ketika konfrontasi bersenjata dengan tentera pengganas Israel di Tebing Barat yang diduduki. 

Jamil al-Kayyal, 31, dilaporkan meninggal dunia semalam akibat parah ditembak di kepala ketika pertempuran di kawasan Ras al-Ain di bandar Nablus.

Video yang tersebar memaparkan Kayyal terbaring kaku di tanah dalam keadaan berlumuran darah selepas tentera Zionis meninggalkan kawasan itu.

Menurut polis Israel, pegawai khas yang disokong oleh tentera telah menahan seorang suspek di Nablus dan merampas senjata separa automatik.

“Apabila pasukan khas menamatkan operasi mereka dan keluar dari lokasi, perusuh melemparkan bahan letupan ke arah mereka dari jarak dekat.

“Pasukan (Zionis) bertindak balas dengan tembakan ke arah penyerang, dan terkena salah seorang daripada mereka yang telah dipindahkan dari tempat kejadian oleh anggota perubatan Bulan Sabit Merah,” dakwa polis Israel dalam kenyataan.

Sementara itu, agensi berita Palestin, Maan memberitahu bahawa dua lagi lelaki Palestin cedera selepas kenderaan rejim melanggar mereka ketika berundur di Nablus.

Tentera Israel sering melakukan serbuan tangkapan di Tebing Barat yang diduduki – walaupun di wilayah yang dikawal oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA).-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button