Berita Utama

Ismail Sabri tegur PAS patut lebih dominan dalam PN

PAS perlu fikirkan untuk gabung parti politik lain

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PAS sebagai parti besar dan sudah lama ditubuhkan sepatutnya menjadi parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN).

Justeru, katanya, PAS patut mempunyai pandangan sendiri dan ada hak bersuara dalam gabungannya, termasuk menentukan kerjasama parti itu dengan parti atau gabungan lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya difahamkan Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak puas hati dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN (Barisan Nasional) jika tidak mendapat majoriti mudah pada PRU15.

“PAS ini parti besar dan lebih awal daripada Bersatu, sepatutnya dominan dan ada ‘say’ dalam PN,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama penduduk di Perumahan Awam Seri Perlis 2, Keramat di sini malam tadi.

Ismail Sabri berkata demikian mengulas kenyataan Takiyuddin yang menyatakan PAS bersedia untuk bergabung dengan BN sekiranya tidak mendapat majoriti mudah pada PRU15.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN kemudian dilaporkan berkata, PN tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU15.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, tindakan pimpinan Bersatu yang sering mengkritik pandangan PAS tidak sepatutnya berlaku.

“Jika begitu, PAS perlu memikirkan untuk bergabung dengan parti politik yang lain,” katanya sambil menyatakan bahawa kenyataan Setiausaha Agung PAS itu akan dibincangkan oleh Majlis Tertinggi UMNO sekiranya BN gagal membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti.

Mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa telah ada perbincangan antara pemimpin UMNO dengan PN untuk bekerjasama, Ismail Sabri berkata: “Setahu saya tiada, ia tidak pernah dibincangkan.” – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button