Berita Utama

Terap budaya sihat di rumah, jangan jadi kilang lahir ‘pembuli’

Jangan tunggu kes buli tular baru sekolah nak ambil tindakan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Jamadilawal 1443H, Selasa – Kemasukan semula pelajar ke sekolah dan asrama untuk menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka telah menimbulkan semula kes-kes buli secara fizikal. 

Budaya membimbangkan ini dikhuatiri tercetus akibat kelompongan perhatian daripada ibu bapa di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Wafiq Azman berkata, ibu bapa sepatutnya menerapkan budaya sosial yang sihat dan selamat di rumah supaya tidak menjadi ‘kilang’ kepada melahirkan ‘si pembuli’.

“Kebiasaannya pembuli adalah individu yang sangat memerlukan perhatian. 

“Namun jika mereka kurang mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah, ia akan menjadi faktor utama untuk pembuli mencari ‘tempat’ melepaskan rasa marah dan benci pada orang lain yang lebih lemah daripadanya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Tidak dinafikan, jurang umur di sekolah menengah sedikit sebanyak menabur rasa ‘samseng’ atau senioriti terhadap pelajar yang lebih muda. 

“Pelajar lingkungan umur ini juga lebih suka menonjolkan dirinya dilihat sebagai umur orang dewasa berbanding rakan-rakannya sebaya. 

“Mereka tidak mahu dilihat sebagai pelajar sekolah. Sebab itu ada yang cuba aktiviti atau budaya orang dewasa seperti merokok, merempit, minum arak, melepak dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, dalam isu buli, pihak pentadbiran sekolah antara pihak autoriti yang paling dekat dan kerap mempunyai akses kepada pelajar-pelajar khususnya di asrama. 

Berikutan itu, jika pentadbiran sekolah tidak proaktif memikirkan polisi dan peraturan khusus untuk mengawal budaya buli, ia pasti tidak akan terkawal. 

“Sekolah perlu kembali menjadi tempat yang seronok dan selamat buat para pelajar.

“Ada juga laporan yang mengatakan pihak autoriti tidak mengambil berat dalam menguruskan emosi dan mental pelajar yang trauma selepas dibuli. 

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Buli adalah kes yang perlu diambil serius dari sekecil-kecil perkara,” katanya.

Beliau menegaskan, tindakan pihak berautoriti yang tidak mengambil endah aduan atau laporan mangsa adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah. 

“Jangan lambat bersikap reaktif dengan menunggu sehingga kes tersebut tular di media sosial baru mengambil tindakan. Ia secara tak langsung akan mengaibkan reputasi dan nama sekolah.

“Cadangan juga buat pihak pentadbiran sekolah untuk mempunyai hubungan yang baik dengan pihak polis, bomba dan hospital atau klinik di sekitar sekolah agar dapat membantu penguatkuasaan dan pengawalan aktiviti kes buli di sekolah,” katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 10 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember membabitkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang semuanya berusia 13 tahun.

Susulan itu, enam pelajar yang terlibat dalam kes buli digantung persekolahan serta merta selama dua minggu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button