Berita Utama

AS, Palestin perbaharui dialog ekonomi

Pertemuan itu adalah yang pertama dalam tempoh 5 tahun

WASHINGTON, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Amerika Syarikat (AS) dan Palestin pada Selasa mengadakan mesyuarat secara maya untuk memperbaharu Dialog Ekonomi AS-Palestin.

“Pertemuan itu adalah yang pertama dalam tempoh lima tahun, dialog peringkat kanan ini menghimpunkan pelbagai agensi dan kementerian AS dan Pihak Berkuasa Palestin untuk membincangkan bidang kerjasama ekonomi terkini dan akan datang,” lapor Agensi Anadolu menurut kenyataan Jabatan Negara.

Pegawai kedua-dua negara berikrar untuk memperluas dan memperdalam kerjasama serta penyelarasan merentasi pelbagai sektor.

Antara isu perbincangan ialah pembangunan infrastruktur, akses kepada pasaran AS, peraturan AS, perdagangan bebas, isu kewangan, tenaga boleh baharu dan inisiatif alam sekitar serta hubungan dagangan antarabangsa.

“Kedua-dua pihak memuktamadkan dialog dengan bersetuju untuk mengusahakan beberapa isu penting bagi memajukan kemakmuran ekonomi rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Penolong Setiausaha AS untuk Hal Ehwal Asia Barat Yael Lempert menggariskan mengenai kepercayaan pentadbiran Presiden Joe Biden bahawa rakyat Palestin berhak menjalani kehidupan yang bebas, selamat dan makmur.

“Meningkatkan ekonomi Palestin juga memainkan peranan penting dalam memajukan matlamat politik kami yang menyeluruh: penyelesaian dua negara yang masih dalam rundingan, dengan negara Palestin dan Israel bersama menjalani kehidupan yang aman dan selamat,” tambahnya.

Wakil Palestin terdiri Menteri Ekonomi Khaled Al-Osaily, Gabenor Pihak Berkuasa Kewangan, Feras Melhem, Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Ishaq Sider dan Pengerusi Pihak Berkuasa Tenaga dan Sumber, Asli Zafer Melhem. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button