Berita Utama

Hari Merdeka tarikh simbolik perjuangan bermati-matian melawan British

Kedua-dua sambutan punyai sejarah tersendiri, unik dan istimewa

BANGI, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Cadangan Ahli Parlimen Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya menggugurkan Hari Merdeka yang bertarikh 31 Ogos dan digantikan dengan Hari Malaysia pada 16 September, adalah suatu pemikiran mendukacitakan.

Lebih-lebih lagi adalah kerana beliau merupakan ahli politik senior yang sejak sekian lama memegang jawatan menteri, demikian kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Pertama sekali, setelah sekian lama saya kenal ramai saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak menyambut 31 Ogos kerana mereka faham akan kaitannya dengan mereka. 

“Melupakan 31 Ogos 1957 bermakna melupakan satu siri rantaian sejarah penting buat sejarah Sabah dan Sarawak serta Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini,

Aminuddin berkata, jika ada rakyat di Sabah dan Sarawak tidak menyambut 31 Ogos, itu pun bukan alasan untuk menguburkannya. 

Tegasnya, ia satu tarikh simbolik dan penting bagi rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang berjuang bermati-matian menentang British.

“Saya hairan, apa yang ‘tak ada makna’ tarikh ini bagi Nazri selama beliau hidup, atau sekurang-kurangnya sepanjang menjadi wakil rakyat dan menteri setelah sekian lama. 

“Apakah 31 Ogos setiap tahun beliau dan keluarga hanya tidur di rumah? Atau pergi bercuti ke luar negara?” soalnya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, Hari Merdeka atau Hari Kebangsaan yang disambut pada tarikh 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September masing-masing adalah unik serta istimewa. 

“Ianya bukan sekadar tarikh sambutan semata-mata. 

“Sangatlah malang apabila seorang wakil rakyat senior yang pernah menjadi menteri sekian lama gagal memahami perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Nazri berkata, melangkah ke hadapan sebagai satu negara, Putrajaya perlu menggantikan Hari Merdeka yang disambut pada 31 Ogos dengan Hari Malaysia pada 16 September.

Beliau berkata, Hari Merdeka tidak bermakna kerana negara dikenali sebagai Malaysia.

“Ia akan menyebabkan dua pemikiran berbeza kerana kita mempunyai Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

“Jika kita benar-benar meraikan pembentukan Malaysia, wajar menyambut Hari Malaysia manakala Hari Merdeka boleh dibaca dalam buku sejarah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button