Berita Utama

JPJ lanjut tempoh tawaran pengurangan saman hingga 31 Disember

Tawaran tidak terpakai bagi kes masih dalam sebutan mahkamah

BANGI, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju melanjutkan tempoh tawaran pengurangan pembayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua Notis Saman JPJ (yang boleh dikompaun) sehingga 31 Disember ini.

Lanjutan tempoh pengurangan saman itu dibuat susulan sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai sempena dengan Acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berakhir 12 Disember lalu.

Tawaran itu bagaimanapun tidak terpakai bagi kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap dan perbicaraan.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki hadir sendiri ke kaunter JPJ, bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum menikmati diskaun saman yang diberikan.

“Kemudahan pembayaran saman ini adalah melibatkan semua kaunter di pejabat JPJ seluruh negara termasuk kios, Mobile JPJ, dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“Urusan transaksi tersebut boleh dilakukan bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang (termasuk hujung minggu) manakala bagi UTC, waktu pengoperasian adalah tertakluk kepada arahan MOF,” katanya.

Katanya lagi, transaksi pembayaran juga boleh dilakukan secara dalam talian (online) melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).

“Dengan pelanjutan tempoh ini, diharap dapat memberi lebih banyak peluang dan kemudahan kepada Keluarga Malaysia untuk menikmati tawaran pengurangan pembayaran saman yang lebih panjang tanpa perlu mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ memaklumkan, pihaknya mengutip RM4,126,938 melalui 81,146 transaksi urus niaga pembayaran saman bermula 9 hingga 13 Disember lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 68,953 transaksi melibatkan saluran kaunter dan Mobile JPJ manakala selebihnya iaitu melibatkan 1,080 transaksi (kios) dan 11,113 transaksi (online),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button