Berita UtamaDunia

Kumpulan bersenjata cetus serangan seminggu sebelum pilihan raya Libya

Militan dipercayai bersama salah seorang calon, Khalifa Haftar

TRIPOLI, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Kumpulan bersenjata yang bergabung bersama ketua tentera, Khalifa Haftar bertempur dengan pasukan keselamatan tempatan di bandar Sabha di selatan Libya pada petang Isnin, seminggu sebelum rakyat negara ini mengundi. 

Pemerhati bimbang negara ini kembali bertempur selepas gencatan senjata selama setahun dicapai.

Rakyat Libya bakal mengundi dalam Pilihan Raya Presiden yang berkemungkinan dibatalkan kerana keraguan undang-undang terhadap kelayakan calon.

“Sebuah kumpulan bersenjata berat dan kenderaan berperisai…mencuri 11 kenderaan pacuan empat roda dari Sabha dalam rompakan bersenjata,” kata pasukan polis bandar itu, menurut AFP.

Kementerian Dalam Negeri di Tripoli pada awalnya menghantar kenderaan itu ke Sabha untuk persiapan pilihan raya, menurut satu kenyataan polis.

Para militan kemudian menyerang konvoi polis dan memaksa pegawai untuk memandu kenderaan itu ke pangkalan udara Brak, selatan Sabha, kata kenyataan itu lagi.

Polis Sabha mengenal pasti penyerang sebagai ahli kumpulan yang bergabung dengan Haftar, salah seorang calon dalam pilihan raya 24 Disember yang menguasai sebahagian besar selatan Libya.

Media tempatan berkata bahawa keganasan berlaku di tengah Sabha dan terdapat seorang mangsa, bagaimanapun pihak berkuasa tidak segera mengesahkan sebarang laporan sedemikian.

Rakaman dalam talian menunjukkan serangan bersenjata kecil dan tembakan artileri berlaku pada waktu malam di bandar selatan Libya. 

Jabatan Polis Sabha percaya serangan berkenaan bertujuan untuk menjejaskan kestabilan wilayah selatan negara itu.

Libya, sebuah negara yang kaya dengan minyak, berdepan dengan kegawatan sejak campur tangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang disokong Amerika Syarikat (AS) menggulingkan pemimpin lama Muammar Gaddafi pada 2011. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button