Berita Utama

Long Tiger terlepas dari tahanan ketika prosiding mahkamah di Tangkak

OKT meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran

TANGKAK, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Abdul Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ terlepas dari tahanan ketika menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata orang kena tahan (OKT) berketurunan Rohingya itu, hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sebelum terlepas kira-kira 11.55 pagi tadi.

Beliau berkata ketika kejadian Abdul Hamim, 32, yang botak itu, memakai kemeja-T pagoda dan berseluar coklat, berketinggian lebih kurang 160 sentimeter dan berat sekitar 65 kilogram.

“OKT ketika dalam tahanan, tangannya masih bergari dan sedang menunggu untuk memulakan prosiding sambil menunggu peguamnya untuk hadir ke mahkamah. Prosiding yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.

“Dia disedari melarikan diri dari mahkamah oleh orang ramai dan usaha untuk menangkapnya dilakukan, tetapi OKT berjaya meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tangkak, hari ini.

Abdul Hamim sebelum ini ditempatkan di Penjara Sungai Udang, Melaka sebelum dibawa ke lokap polis IPD Tangkak semalam, dan kemudianya dibawa ke lokap mahkamah sebelum dia berjaya meloloskan diri dari pintu utama mahkamah.

Mohd Fadhil berkata pihaknya memohon kerja sama orang ramai yang terlihat Abdul Hamim atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh, untuk segera menghubungi pihak polis.

Setakat ini, empat anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi Long Tiger ke mahkamah juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian, selain siasatan lanjut akan dilakukan terhadap polis yang bertugas di mahkamah.

“Polis masih menyiasat sama ada kesemua anggota tersebut terlibat dalam kejadian ini atau sebaliknya, serta cara tertuduh meloloskan diri dari sel mahkamah.

“Tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari dari tahanan,” tambah beliau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button