Berita Utama

Malaysia teroka kerjasama tenaga solar dengan AS

Masalah sumber tenaga boleh ubah perlu ditangani bagi memastikan kebolehpercayaan bekalan

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Malaysia berhasrat meneroka kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam rancangannya untuk memperkenalkan skala utiliti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) ke dalam sistem elektrik Semenanjung.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, memandangkan sistem solar menjadi semakin signifikan dalam sistem bekalan tenaga negara, masalah berkaitan sumber tenaga boleh ubah ini perlu ditangani bagi memastikan kebolehpercayaan bekalan.

“Kami merancang untuk memperkenalkan skala utiliti BESS dengan jumlah kapasiti 500 megawatt (MW) dari 2030 hingga 2034 ke dalam sistem elektrik Semenanjung.

“Ini adalah satu daripada kerjasama yang ingin diteroka selanjutnya dengan AS,” katanya pada ucapan sesi Meja Bulat Tenaga Boleh Diperbaharui AS-Malaysia dengan Setiausaha Negara AS Antony J Blinken di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, kementerian sedang menjalankan kajian melalui MyPower, sebuah syarikat terhad dengan jaminan di bawah kementerian, dengan tugas memastikan kelangsungan industri bekalan elektrik negara.

Beliau berkata, sejak pelancaran Tarif Elektrik Hijau (GET) baru-baru ini, inisiatif itu menerima sokongan padu daripada syarikat multinasional dengan 16 peratus daripada kuota sedia ada telah dilanggan dalam tempoh sebulan selepas ia dilancarkan November lepas.

Justeru, beliau menjemput syarikat AS di Malaysia, mencari jalan untuk memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka dapat merebut peluang ini kerana tenaga elektrik hijau yang ada adalah terhad.

“Selain memenuhi sasaran iklim kita, pelaksanaan inisiatif ini dijangka meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan pelaburan baharu dan peluang pekerjaan.

“Sebagai contoh, apabila kami menawarkan projek solar berskala besar 1,000 MW dan projek solar atas bumbung 500 MW di tengah-tengah pandemik COVID-19 tahun lepas, kira-kira AS$1.2 bilion peluang pelaburan dijana dan mewujudkan 18,000 peluang pekerjaan yang membantu pemulihan ekonomi kita,” katanya.

Takiyuddin juga percaya dengan bantuan dan sokongan AS menerusi Kerjasama Program Sektor Tenaga dengan Biro Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Negara AS, Malaysia boleh mengambil peluang untuk memanfaatkan kepakaran AS bagi membantu negara dalam peralihan sistem kuasanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button