Berita Utama

Perincian Bajet 2022 akan dilaksana dengan berhemah

Dalam memastikan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilawal 1443H, Rabu – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmennya untuk melaksanakan segala perincian Bajet 2022 dengan penuh hemah demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Katanya beliau mewakili Kerajaan Persekutuan berjanji akan memanfaatkan mandat yang diberikan kepada kepimpinannya dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Bajet 2022 telah diluluskan dengan jayanya setelah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli Parlimen yang telah memberikan sokongan kepada undian Bajet 2022 ini, khususnya daripada pihak pembangkang,” kata Ismail Sabri menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut perdana menteri beliau percaya kekuatan sesebuah pentadbiran itu turut terletak pada proses semak dan imbang yang cemerlang.

Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) yang menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik COVID-19, dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata bajet bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ berkenaan mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Rang undang-undang itu yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri diluluskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam, selepas 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 November bagi setiap kementerian terlibat.

Dewan Rakyat meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar pada 18 November. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button